Sabtu, 5 November 2011

MATAWANG PERAK SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG  ( JOHOR )



Nama asalnya ialah Raja Mahmud dan bergelar Sultan Mahmud Shah II, Sultan Johor ke-10 (tahun pemerintahan dari 1685 - Ogos 1699). Baginda ditabalkan ketika berumur 10 tahun. Baginda Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1675. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530.
Ketika hayat baginda Sultan Mahmud, urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi, dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Disinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama.
Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut "Marhum Padang Saujana".
Pada hari Jumaat, Ogos 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Megat Seri Rama. Akhirnya baginda lebih dikenali sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi". Baginda dimakamkan di Kota Tinggi
Alexander Hamilton, seorang pelayar Inggeris yang sempat berkunjung ke Johor Lama tahun 1695 menulis tentang keganjilan perilaku sultan tersebut. Baginda bertabiat bengis dan ganjil. Ini disahkan juga oleh utusan Belanda ke Johor tahun 1699 yang melaporkan sultan itu terlalu muda dan sukar dikawal. Sultan ini menghabiskan masa dengan keseronokan yang keji-keji dan membunuh orang sesuka hati.

 Kemuncak kezalimannya ialah membunuh isteri orang besarnya iaitu Megat Seri Rama. Isterinya, Dang Anum yang mengandung sarat itu mengidam buah nangka dalam taman diraja. Apabila baginda tahu kejadian itu, baginda dengan zalim atau kebodohannya telah membelah perut Dang Anum bagi melihat betulkah anak dalam kandungan yang mengidam buah nangka raja.
Megat Seri Rama (bergelar Laksamana Bentan) yang balik dari medan peperangan di Linggi atas perintah sultan itu telah dikhabarkan kematian tragis isteri kesayangannya. Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil dengan pembesar istana lainnya bersepakat untuk menghapuskan raja. Menurut adat Melayu, seseorang raja boleh diturunkan dari takhta apabila terbukti ia gila atau murtad. Mereka bersepakat dalam musyawarah yang telah diadakan secara tertutup untuk membunuh raja.
Walau bagaimanapun, ada seorang pembesar bernama Orang kaya Seri Bija Wangsa dari suku orang laut menentang komplot itu kerana tidak mahu menderhaka kepada raja. Bagi menjayakan rancangan dan menutup rahsia misi penting itu, Seri Bija Wangsa dibunuh orang dengan keris penyalang. Pembesar ini merupakan orang keutamaan suku Orang Laut (orang Riau/Lingga) yang pernah menjadi pembantu laksamana dalam perang Johor-Bugis di Linggi. Orang-orang Laut sangat marah dan berdendam atas kematian pembesar mereka itu. Manakala Megat Seri Rama mengambil tugas berat untuk menderhaka dan ketika tepat waktunya sultan dijulang jejuaknya ke masjid untuk sembahyang Jumaat (peliknya baginda masih menunaikan haknya sebagai Muslim), Megat Seri Rama pun membunuh Sultan yang dianggap gila itu dan tragedi itu dikenali sebagai 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'. Kononnya sebelum mati, baginda sempat menyumpah pembunuhnya dan mengharamkan 7 keturunan Megat Seri Rama dari menjejaki Johor lama itu.
Mengikut perbualan orang di negeri selatan itu, masih ada keturunan Megat Seri Rama yang akan pening kepala dan muntah darah bila berkunjung ke daerah pembunuhan sultan tersebut. Sultan Mahmud dimakamkan orang di Kota Tinggi pada tahun 1699 dan dengan kematian baginda maka putuslah zuriat raja-raja Johor dari keturunan dinasti Raja Melaka. 

BENTUK MATAWANG PERAK SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG












Duit penjuru perak Sultan Mahmud mangkat dijulang






                                                                             


          Bahagian hadapan tertulis dengan tulisan jawi Sultan  mahmud


   










     Bahagian belakang dengan tulisan jawi  dengan tulisan 
     Khalifatul Mukminin      






Duit syiling perak ini tidak dijual. Duit ini menjadi koleksi peribadi
                                                                                 








2 ulasan: